Ops KOTA ECHO
40 tahun yang lalu, Isnin 16hb Oktober 1978, Gun Position 'B' Troop, Charlie Battery, Rejimen Ke-3 Meriam (3 RAD) di MARKER K-, Hutan Simpan Ulu Muda, Gubir, Kedah semasa Op Kota Echo telah diserang PKM semasa pesawat Nuri sedang membuat resup. Masa kejadian lebih kurang 1200 hrs.
Saya cut and paste sebahagian catatan daripada ayah saya berkaitan peristiwa ini. Selamat membaca.
Kedudukan MARKER K- yang strategik ini bertujuan memberikan bantuan tembakan kepada pasukan-pasukan sahabat seperti yang telah diarahkan oleh pihak Markas 6 Briged Infantri Malaysia. Atas faktor keselamatan, maka gun position MARKER K- , Gubir ini yang lokasi kedudukkannya yang hampir dengan sempadan Malaysia/Thailand dan disebabkan oleh aktiviti-aktiviti PGK yang masih lagi bergerak aktif, terutama dari Rejimen Ke-10 PKM dan Rejimen Ke-12 PKM maka terdapat 1 platun dari 12 RAMD yang berpengkalan di Kem Batu Uban, Pulau Pinang telah diberikan tanggungjawab untuk menjadi ‘Local Defence’untuk ‘B’ Troop, ‘C’ Bateri, Rejimen Ke-3 Meriam (3 RAD).
Satu-satunya jalan perhubungan dengan MARKER K- , Gubir adalah melalui udara disebabkan kedudukannya yang jauh dipendalaman dan berada di kawasan tanah tinggi. Maka semua anggota dan meriam diaturgerak dengan bantuan pesawat nuri TUDM dengan diiringi sebuah pesawat bersenjata alouette sebagai pesawat pengiring. 3 pucuk meriam M102 105mm juga diangkut dengan cara sistem anduh bawah (under slung) oleh pesawat nuri yang ½ jam masa penerbangannya dari Markas Taktikal dari Kem Gubir, Kedah.
Sepanjang tempoh ‘Ops KOTA ECHO’ ,cuma sekali sekala ‘B’ Troop, ‘C’ Bateri, Rejimen Ke-3 Meriam (3RAD) membuat bantuan tembakan untuk membantu pasukan sahabat yang sedang menjalani operasi di sempadan. Seperti kebiasaanya, setiap 10 hari sekali, sebuah pesawat nuri TUDM serta sebuah pesawat alouette akan terbang ke MARKER K- , Gubir untuk menghantar catuan bekalan basah dan peluru (resup) daripada Markas Taktikal di Kem Gubir, Kedah untuk anggota yang sedang menjalankan operasi.
Pada lebih kurang jam 1200hrs 16 Oktober 1978, semasa pesawat nuri mendarat di LP (Landing Point) MARKER K- , Gubir, seorang anggota ‘B’ Troop, ‘C’ Bateri, Rejimen Ke-3 Meriam (3 RAD) (23532) Sjn Hasan b. Awang The telah memasuki ke dalam pesawat nuri untuk membantu menurunkan bekalan makanan dengan dibantu oleh anggota ‘B’ Troop, ‘C’ Bateri, Rejimen Ke-3 Meriam (3 RAD) di bawahnya. Tidak sempat pun bekalan makanan diturunkan daripada pesawat nuri, tiba-tiba terdengar bunyi tembakan dari arah bukit yang bersebelahan dengan tapak pendaratan helikopter (LP). Kemudian berlakulah beberapa letupan kuat yang betul-betul di hadapan muncung pesawat nuri dan juga berhampiran dengan kedudukan meriam ‘D’ sub.
Menyedari yang pesawatnya menjadi sasaran tembakan PGK, maka juruterbang nuri mengambil keputusan untuk ‘take-off’ dari lokasi tersebut biarpun bekalan makanan serta peluru belum pun diturunkan malahan anggota ‘B’ Troop, ‘C’ Bateri, Rejimen Ke-3 Meriam (3 RAD)iaitu (23532) Sjn Hasan b. Awang Teh yang ketika itu masih berada di dalam pesawat telah terus terbang bersama-sama kembali ke Markas Taktikal di Kem Gubir, Kedah. Semasa kejadian tersebut, terdapat sebuah pesawat alouette yang bersenjata sebagai pesawat pengiring namun disebabkan pesawat tersebut berlegar tinggi di udara, kemungkinan besar juruterbangnya tidak dapat melihat letupan tersebut.
Sejurus belakunya letupan, kesemua anggota ‘B’ Troop, ‘C’ Bateri, Rejimen Ke-3 Meriam (3 RAD) mengambil perlindungan di kubu-kubu pertahanan yang berhampiran. Begitu juga dengan platun dari 12 RAMD. Serangan PGK ke atas MARKER K- , Gubir ini telah berlangsung antara 5 ke 10 minit dan sejurus kemudian PGK pun menghentikan serangan lalu melarikan diri ke arah sempadan Thailand. Hasil daripada pemeriksaan dan kesan tembakan / letupan oleh anggota, adalah dipercayai yang pihak PGK telah menggunakan senjata M79, Grened Launcher 303 dan LMG untuk memusnahkan pesawat nuri TUDM. Alhamdulillah, tiada kecerderaan atau kemalangan jiwa yang berlaku kepada anggota kecuali sedikit serpihan letupan yang terkena kepada gun ‘D’ sub.
Kemudian GPO (Gun Position Officer) LtM Jalil telah membuat lapuran (sitrep) ke Markas Tektikal di Kem Gubir memaklumkan yang tapak meriam di MARKER K- , Gubir telah diserang oleh PGK dan beliau memohon kebenaran dari BC (Battery Commander) (410295) Mejar Ahmad Daud untuk menembak ke kawasan sasaran yang dipercayai digunakan oleh PGK sebagai tapak untuk melancarkan serangan. Setelah diberikan kebenaran untuk menembak, maka beberapa butir tembakan meriam disasarkan ke arah bukit yang berhampiran.
SENARAI ANGGOTA ‘B’ TROOP, ‘C’ BATTERY, REJIMEN KE-3 MERIAM (3 RAD) YANG TERLIBAT DALAM PERISTIWA SERANGAN PGK DI GUN POSITION MARKER K- , GUBIR, KEDAH
1. BC : 410295 Mejar Ahmad Daud (Hts) (Bertukar ke Risek dan bersara Lt. Kol)
2. GPO : Lt M Jalil
3. TSM : 605652 Sjn Md Yasin b Idris (Bersara WO2 ; BSM,’C’ Battery, 3 Artileri ; 1985)
4. Gun ‘D’ Sub No.1 : 23754 Sjn Mat Hasni (Mejar KM, 6 Artileri ; meninggal 1993)
5. Gun ‘E’ Sub No. 1 : 23532 Sjn Hasan b Awang Teh (Bersara PW 1; RSM 5 Artileri ; 1992)
6. Gun ‘F’ Sub No. 1 : 23789 Sjn Tahir b Nagi (Kts)
(Bersara PW 1; RSM 3 Artileri ; 1992)
7. BDP : 235021 Bdr Mahat
PS : Nukilan Zamri Yasin
Comments
Post a Comment