Bila nak kahwin?
"Korang yang Single Bila Nak Kahwin?"
Kenapa korang tak kahwin lagi? Ke masih takleh lupa ex lama? Bawa-bawa la move on bang. Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor. Tapi kena pastikan bunga atau kumbang ori la. Kahwin ni sunnah Nabi. Yang bagusnya, ia menyempurnakan separuh daripada agama.
Rasulullah pernah tanya sorang sahabat sampai tiga kali: “Mengapa kamu tidak kahwin?” Kemudian Nabi suruh sahabat tu bagitau kabilah tertentu, yang Nabi perintah kahwinkan dia dengan gadis mereka. Nak sediakan mahar pulak, para sahabat siap buat crowdfund sebutir emas. Jadi, kalau makcik Joyah kat kampung tanya masa raya, “Kau bila nak kahwin?”, jangan melenting pulak. Relax. Biasalah. Nabi pun tanya sahabat bila nak kahwin.
Kalau buka kitab Ihya Ulumiddin, bersepah kelebihan kahwin. Boleh baca sampai lebam. “Jikalau tidaklah tinggal dari umurku selain daripada 10 hari, nescaya aku suka berkahwin supaya tidaklah aku berjumpa dengan Allah sebagai orang bujang,” kata Ibnu Mas’ud.
Muaz bin Jabal pun sama. Lepas isteri dia meninggal sebab kolera, dia mengadu perkara serupa. Imam Ahmad bin Hanbal pada hari kedua kematian isterinya, terus kahwin baru. Katanya, “Aku tidak suka bermalam sebagai orang bujang.”
Ada seorang Tabi' Tabi'in bernama Bisyr bin al-Hars. Dia ni memang banyak ibadah, tetapi tidak berkahwin. Bila orang tanya "kenapa tak kahwin?", dia pakai Surah Baqarah ayat ke-228 sebagai alasan.
Lepas dia meninggal dunia, ada sorang mimpikan Bisyr. Ditanyakan kepadanya, apa kesudahan di alam sana. Jawab Bisyr: “Ditinggikan tempatku di dalam syurga, didekatkan aku kepada tempat Nabi-nabi namun aku tidak sampai ke tahap orang-orang yang berkeluarga (berkahwin).” Dalam riwayat lain, Allah berfirman kepada Bisyr, “Aku tidak suka engkau menjumpai aku selaku orang bujang.”
Beristeri ramai, bukan termasuk daripada dunia yang sia-sia. Saidina Ali adalah sahabat yang paling zuhud. Isterinya sahaja empat orang dan hamba perempuan 17 orang. Lepas Fatimah az-Zahra’ wafat, Ali terus kahwin empat.
Power mana pun orang bujang, power lagi orang dah berbini. Jangan lupa, manifestasi cinta adalah dengan bernikah. Bukan mengusung anak dara orang ke sana ke mari. Bercuti ke pulau habis beratus beribu tak kisah, bila tanya kahwin senyap seribu bahasa.
Pujangga cinta Jalaluddin Rumi pesan, “Berkahwinlah, agar dapat belajar hidup sabar dengan jantina bertentangan, agar belajar mendengar permintaan mereka, agar dapat belajar hidup bersama susah dan senang. Dengan cara ini ia memperbaiki peribadi kita sendiri.”
Kalau takut dapat bini jahat macam Walihah, jangan lupa Nabi Luth tetap dijaga Allah. Kalau takut dapat suami jahat macam Firaun, jangan lupa Asiah tetap dijanjikan syurga.
Oleh: Zaki Sapuan Al-Hafiz
Comments
Post a Comment